KOTA BELUD: Tamu Besar Kota Belud bukan saja mampu menarik kehadiran pelancong malah turut mengangkat keindahan dan keunikan keelbagaian budaya tempatan yang ada di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong dan membangunkan potensi setiap daerah di Sabah termasuk memajukan sosioekonomi, pelancongan dan kebudayaan masyarakatnya yang unik.
“Sudah pasti penganjuran tamu besar secara tahunan ini berperanan besar dalam menarik pelancong selain mempromosikan keindahan budaya tempatan.
“Tamu besar ini juga menjadi lambang perpaduan kerana tamu adalah medan pertemuan sosial rakyat berbilang kaum dan agama seperti masyarakat Bajau, Kadazandusun, Iranun dan Cina, yang terus kekal sehingga kini.
“Saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya sempena Tamu Besar Kota Belud 2024 di Padang Pekan Kota Belud, di sini pada Sabtu.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan majlis perasmian Tamu Besar Kota Belud 2024.
Pelbagai pengisian telah disusun sempen Tamu Besar Kota Belud tahun ini, antaranya persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pameran dan jualan produk kraf, komuniti, serta tradisional.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited untuk memperhebat pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, khususnya dalam memperluas rangkaian promosi pelancongan dan mengembangkan jaringan laluan udara ke negeri ini.
Katanya, langkah ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti Sabah sebagai destinasi yang mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang paling menarik bagi pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Deasoka