KENYATAAN MEDIA
AHLI JEMAAH PENGARAH
PERTUBUHAN PELADANG KEBANGSAAN (NAFAS)
- Kami, Ahli-ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ingin menarik perhatian berhubung kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) bertarikh 1 November 2024 yang bertajuk “Reformasi Tatakelola NAFAS”.
- Kami amat terkilan dan kesal dengan keputusan KP LPP selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) yang telah membuat perintah penggantungan NAFAS berkuatkuasa pada 1 November 2024.
- Alasan penggantungan yang diberikan ialah mengenai isu-isu yang menjurus kepada konflik dan ketidakharmonian dalaman. Tuduhan ini merupakan satu alasan yang amat lemah kerana selaku Pendaftar PP, KP LPP sepatutnya terlebih dahulu memberi teguran, nasihat dan mengadakan perundingan dan perjumpaan dengan semua pihak yang berkepentingan bagi menangani dan menyelesaikan sebarang konflik atau ketidakharmonian seperti didakwanya.
- Kami AJP NAFAS ingin menegaskan bahawa selama menyandang jawatan ini seperti yang diamanahkan oleh ahli-ahli peladang melalui proses demokrasi iaitu undian dan dipilih secara sah pada Perhimpunan Agung NAFAS, kami telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan harmoni.
- Umum, khususnya ahli-ahli peladang maklum dan sedar bahawa isu konflik dan ketidakharmonian dalaman hanya berlaku setelah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu menggunakan kuasanya melantik seorang pemimpin parti politik sebagai Pengurus Besar (GM) NAFAS berkuatkuasa bulan Mac 2023.
- Beberapa tindakan yang dibuat oleh GM baharu NAFAS ini terutamakannya telah banyak memberikan kelulusan dana NAFAS untuk membiayai program dan aktiviti yang melibatkan YB Menteri KPKM, tanpa kelulusan atau persetujuan AJP NAFAS, sehingga menyebabkan AJP NAFAS terpaksa menggantung jawatan GM baru-baru ini.
- Kami cukup yakin bahawa keputusan penggantungan NAFAS yang dibuat oleh KP LPP kali ini ada hubung kait dengan tindakan dan keputusan AJP menggantung tugas GM baharu berikutan dakwaan salah laku yang dilakukannya.
- Persoalan yang sering ditimbulkan oleh ahli-ahli peladang di peringkat Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) selaku pemegang saham yang sah dalam NAFAS ialah; setelah YB Menteri KPKM melantik “orangnya” sebagai GM baharu, telah pulih ke NAFAS? Atau keadaan NAFAS bertambah tenat, terutamanya dalam bidang perniagaan setelah banyak dana NAFAS dibelanjakan untuk program yang menjurus kepada aktiviti politik?
- Sekiranya benar program dan aktiviiti yang dilaksanakan menggunakan penyaluran dana NAFAS ialah untuk kepentingan dan manfaat para peladang, kenapa pula ianya tidak dibiayai oleh LPP, Jabatan Pertanian dan jabatan serta agensi KPKM yang lain. Kenapa perlu gunakan duit NAFAS untuk membiayainya?
- Adakah tindakan sedemikian dianggap sebagai satu reformasi dan telah memperkukuhkan tata kelola yang disyiorkan dan ditegaskan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani?
- Dengan bertindakan melantik orang-orang politik dari parti-parti Politik dalam NAFAS sebagai pengurus dan AJP, dan akan datang sebagai AJP dalam PPN dan PPK (dengan gaji dan elaun akan ditanggung sendiri oleh NAFAS, PPN dan PPK) akan mengembalikan kepercayaan Kerajaan dan peladang-peladang? Adakah ini reformasi yang dimahukan oleh Kerajaan Madani khususnya YB Menteri KPKM?
- Kerajaan dan umum perlu tahu dan sedar bahawa NAFAS, PPN dan PPK bukan sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan. Ia adalah gerakan pertubuhan yang dimiliki oleh ahli-ahli peladang selaku pemegang saham yang sah.
- Walaupun NAFAS, PPN dan PPK bukannya sebuah agensi kerajaan, namun apa yang berlaku dari dahulu sehingga sekarang ialah banyak pihak terutamanya daripada pihak kerajaan dan parti-parti politik yang begitu tertarik dan minat dengan NAFAS, PPN dan PPK.
- Kami barisan AJP NAFAS akan dan sentiasa memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan sistem tatakelola, tadbir urus dan sistem kewangan yang telus dalam memerangi segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Kita sangat yakin dengan ketelusan dan kredibiliti serta kewibawaan SPRM.
- Dengan mengambil kira semua perkembangan ini dan juga demi kepentingan ahli-ahli peladang sebagai pemegang saham NAFAS, kami AJP NAFAS akan membuat rayuan secara rasmi kepada YAB Perdana Menteri dan YB Menteri KPKM terhadap pergantungan NAFAS selaras dengan hak dibawah Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
- Semoga dengan sedikit penjelasan ini, umum akan lebih memahami apa itu NAFAS, PPN dan PPK. Sudah tentu ahli-ahli peladang seluruh negara tidak mahu reformasi yang dibuat oleh KPKM dan LPP hanya memberi kebaikan kepada orang-orang politik semata-mata.
Kami AJP NAFAS :
- Dato’ Zamri bin Yaakob (Pengerusi)
- Dato’ Aimi Bin Haji Jusoh
- Dato’ Haji Sham Bin Mat Sahat
- Dato’ Haji Ismail Bin Umar
- Datuk Haji Mohd Rosll Bin Harun
- Dato’ Haji Ali Bin Shikh Ahmad
- Dato’ Indera Haji Mustaffar Kamal Bin Ab Hamid.
- Dr. Ab Razak Bin Kasbollah.
- YB Datuk Dr.Haji Abdul Rahman Bin Haji Ismaii
- Datuk Mohd Nazri Bin Abdullah
- Datuk Dr. Haji Abd Rahman Bln Bakri