KOTA KINABALU: Usaha kerajaan untuk terus memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya golongan yang kurang bernasib baik, memerlukan kerjasama serta sokongan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan sektor swasta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata justeru usaha Yayasan Kasih Suria yang telah melaksanakan pelbagai program dan kerja amal sejak lebih 30 tahun lalu termasuk melalui pendidikan, kebajikan dan sosioeknomi, telah memberi manfaat besar kepada masyarakat yang memerlukannya di negeri ini.
“Konsert amal yang dilaksanakan yayasan pada hari ini sangat bertepatan dengan keperluan kita menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat prihatin dan berbudi pekerti tinggi.
“Inisiatif orang persendirian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat korporat membantu mengadakan program kebajikan dan amal begini perlu dicontohi dan disokong sepenuhnya.
“Sehubungan itu saya menyeru agar lebih banyak lagi syarikat swasta dan badan korporat untuk tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini,” katanya sempena Konsert Amal Yayasan Kasih Suria di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Arif.
Sehubungan itu beliau merakamkan tahniah atas usaha Yayasan Kasih Suria yang diketuai oleh Datuk Raya Erom, dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan di negeri ini, menerusi pelbagai program yang diadakan.
Katanya, ini termasuklah melalui pelbagai usaha-usaha yang telah dilakukan seperti mewujudkan Rumah Kebajikan Suria yang memberi tempat perlindungan kepada anak-anak yatim, hingga kepada Pusat Seni Suria yang memberikan platform kepada belia mengembangkan bakat seni mereka.
“Yayasan ini juga telah mewujudkan Sekolah Agama Suria di Tuaran yang menjadi pusat bimbingan ilmu agama, memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan,” katanya.
Ketua Menteri berkata kerajaan memang telah dan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu dan memberi keselesaan bagi mengurangkan beban golongan yang tidak bernasib baik dari semasa.
Deasoka