Sudah-sudahlah Datuk Bung, kamu dulu pun sebahagian daripada kerajaan GRS: PERSANTUN

Sudah-sudahlah Datuk Bung, kamu dulu pun sebahagian daripada kerajaan GRS: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Dakwaan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan kerajaan GRS sebagai sebuah kerajaan pengumuman sahaja merupakan satu kenyataan dangkal.

Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, dakwaan berkenaan turut boleh diibaratkan sebagai meludah ke langit memandangkan Bung Moktar juga merupakan sebahagian daripada intitusi kerajaan pada era GRS-BN pada dua tahun lalu.

“Ucapan dan kenyataan beliau terhadap kerajaan GRS sekarang seolah-olah menyifatkan beliau ini mempunyai masalah ingatan.

“Adakah beliau mudah terlupa, beliau juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan GRS-BN dahulu, menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri…dan jika isu pengumuman ini menjadi persoalan, apakah ketika beliau bertugas menjadi TKM, Menteri JKR dahulu tidak ada buat pengumuman selaku wakil kerajaan?

“Jadi, bagi saya sudah-sudahlah berpolitik seperti budak-budak, salah orang semua diungkit tetapi salah sendiri tidak pula disentuh, biarlah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor buat kerja demi rakyat Sabah, ” katanya.

Terdahulu, kenyataan Bung Moktar dalam satu majlis di Kota Kinabalu menyelar kerajaan GRS sekarang banyak membuat pengumuman sahaja tanpa mengambil kira permasalahan yang berlaku di negeri ini.

Antara yang dibangkitkan adalah masalah infrastruktur, kemudahan asas seperti bekalan air, bekalan elektrik serta peluang-peluang pekerjaan di Sabah.

Perkara itu turut mendapat reaksi daripada Hajiji semalam di mana Ketua Menteri pada masa sama menempelak kenyataan Bung Moktar dengan mengatakan Pengerusi BN Sabah itu amat naif kerana tidak melihat usaha kerajaan menangani isu-isu rakyat.

“Saya amat setuju dengan kenyataan Hajiji semalam dengan mengatakan Bung Moktar agak ketinggalan zaman dan hanya tahu berkhayal sahaja.

“Selama ini Ketua Menteri tidak pernah pun mengeluarkan apa-apa kenyataan mengguris hati pembangkang dan hanya patuh bekerja, kalau ada pun selepas beberapa kenyataan yang memfitnah kerajaan barulah Hajiji bertindak mempertahankan.

“Kita sedih, sebagai rakyat Sabah…sudah-sudahlah, kita sedang berdepan banyak cabaran, isu-isu yang perlu diselesaikan dari semasa ke semasa, tidak mereka berasa kasihankah dengan situasi sebegini dan masih mahu bermain politik,” katanya.

Tambah Najib Tay, beliau percaya rakyat Sabah sudah terlalu matang untuk menilai permainan-permainan politik pembangkang terutamanya UMNO dan WARISAN memandangkan ada di kalangan pemimpin mereka ini juga merupakan sebahagian daripada kerajaan pada waktu dahulu.

“Apabila bergelar kerajaan dahulu, sedikit pun permasalahan-permasalahan seumpama ini mereka tidak bangkitkan tetapi apabila tidak mempunyai apa-apa, barulah aktif mengkritik.

“Seperti Datuk Bung Moktar, apa beliau bikin ketika menjadi Menteri JKR di Sabah dahulu, masalah jalan raya dapat selesaikah?masalah air dapat selesaikah? isu elektrik?

“Jadi jangan sekadar hebat berkata-kata, rakyat Sabah pandai menilai,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|