SHMMP untuk Pesta Kaamatan, Gawai

SHMMP untuk Pesta Kaamatan, Gawai

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 27 Mei hingga 2 Jun bagi Pesta Kaamatan, dan 29 Mei hingga 4 Jun bagi Hari Gawai.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata skim berkenaan akan berlangsung selama tujuh hari dengan melibatkan lapan jenis barangan setiap perayaan.

Beliau berkata, antara barangan yang terbabit adalah kepak ayam, daging kerbau import India, bawang merah kecil India, bawang putih China, cili kering keriting, daging babi perut, daging babi iaitu daging & lemak, babi hidup yang harga maksimumnya di peringkat ladang sahaja bagi perayaan Kaamatan.

“Manakala, barangan harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Gawai 2024 pula adalah seperti berikut iaitu, ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih China, kubis bulat import Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing, cili kering keriting, Daging babi perut, daging babi iaitu daging dan lemak, dan babi hidup yang mana harga maksimumnya di peringkat ladang sahaja”, ujar Armizan dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas beliau, pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara menurut Armizan akan turut melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan pada tempoh tersebut.

“Ini adalah bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|