KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sekali lagi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sebelum atau menghampiri tempoh penggal berakhir.
Beliau berkata, berbaki kurang setahun pentadbiran kerajaan sedia ada, jelasnya baki tempoh berkenaan amat penting untuk memastikan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dijalankan tercapai.
“Kita mempunyai tempoh sehingga bulan Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17.
“Maknanya, kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat,” katanya.
“Tempoh tersebut amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Kita mahu pastikan, setiap keluh kesah rakyat dapat diambil perhatian dengan serius untuk diselesaikan,” katanya.Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Perhimpunan Agung Tahunan (PAR) kedua PGRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan yang sama, Hajiji yang juga Presiden PGRS mengingatkan pimpinan parti tersebut di setiap kawasan supaya sentiasa jujur dan komited dalam menyampaikan laporan mengenai permasalahan rakyat terutama di peringkat akar umbi.
“Saya bukan sahaja mengharapkan laporan atau cerita yang baik-baik daripada setiap kawasan, tetapi saya mahukan keikhlasan dan kejujuran dalam memberikan laporan berkenaan.
“Ada kalanya, laporan yang diterima tidak seperti maklumbalas yang sampai ke telinga saya, yang dibawa sendiri oleh ahli-ahli parti dari akar umbi,” katanya lagi.
Deasoka