PRK KKB, Ilham Centre ramal PH ada sedikit kelebihan

PRK KKB, Ilham Centre ramal PH ada sedikit kelebihan

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dijangkakan mempunyai sedikit kelebihan dalam perebutan kerusi DUN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan perkara demikian atas beberapa faktor tertentu dalam aksi kempen yang berbaki beberapa jam lagi sebelum tamat pada tengah malam nanti.

Tambah firma itu, rentak perlahan yang ditonjolkan daripada calon-calon bertanding, ceramah kempen, perang bendera atau poster mahu pun kehangatan isu dibawakan agak ‘tawar’ pada PRK Kuala Kubu Baharu berbanding pilihan-pilihan raya kecil pasca PRU-15 lalu.

Menurut ringkasan yang dikeluarkan Ilham Centre, PH diwakili DAP mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kawasan Kuala Kubu Baharu ini daripada jatuh ke tangan pihak lawan yang meletakkan objektif menawan 4-0 di dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor ini.

Untuk rekod, PRK tersebut menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Sementara itu, susulan daripada takrifan kempen yang disifatkan hambar sejak hari penamaan calon, Ilham Centre pada masa sama menggangap PRK Kuala Kubu Baharu sebagai medan ujian kepada kehangatan kempen di media sosial sama ada ianya mampu menjadi sumber utama terhadap para pengundi untuk memangkah undi kepada calon disokong.

Ini berikutan, berdasarkan dapatan kajian hampir 62 peratus para pengundi ditemui mengikuti isu pilihan raya berkenaan melalui platform media sosial manakala medium informasi seperti televisyen dan radio hanya sekadar 15 peratus.

Terdahulu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan media hari ini berkata, seramai 39,269 pengundi dijangkakan keluar menunaikan kewajipan esok dengan melibatkan sebanyak 18 pusat mengundi di buka pada PRK tersebut.

Seramai 760 petugas SPR akan ditugaskan pada PRK Kuala Kubu Baharu kali ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|