Polis tahan dua lelaki cuba masuk Istana Negara bawa parang

Polis tahan dua lelaki cuba masuk Istana Negara bawa parang

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba masuk ke Istana Negara dengan membawa senjata parang dalam kejadian di sini, semalam.

Memetik laporan portal MalaysiaPost hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua suspek yang menaiki kereta Perodua Kembara itu dikatakan membuat alasan hendak berjumpa dengan Yang di Pertuan Agong.

Jelasnya suspek cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara di Jalan Sultan Abdul Halim kira-kira jam 4.40 petang semalam, sebelum ditahan.

Katanya, anggota polis yang berkawal di pintu masuk menahan kenderaan dinaiki suspek dan suspek memaklumkan mereka mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Anggota polis di lokasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka dan menjumpai sebilah parang dalam kenderaan terbabit.

“Berikutan itu, kedua-dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun itu ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, keputusan ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif.

“Kedua-duanya kini direman empat hari bermula hari ini sehingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|