LAHAD DATU: Seramai 70 orang pembeli Taman Khazanah Indah terpaksa menanggung bayaran ansuran bulanan rumah sejak 2008 namun rumah mereka masih terbengkalai.
Menurut Pengerusi Persatuan Pembeli Taman Khazanah Indah, Sultan Bin Abdullah,51 pihak mereka meminta untuk pihak kerajaan campur tangan kerana sehingga kini pemaju masih gagal menyelesaikan membina rumah mereka tanpa sebarang alasan yang munasabah.
“Kasihanilah kami ini bukan orang senang, kami cuma penjawat awam terpaksa bayar rumah yang belum siap, malah ada antara kami yang dia sendiri tidak tahu mana satu rumahnya sebab tapak dan tiang pun belum wujud tapi kena bayar ansuran sampai hari ni pada bank,” katanya.
Menurut Sultan bayaran ansuran adalah antara RM600 hingga RM1000 sebulan, lebih teruk lagi ada pembeli yang tinggal di kuarters kerajaan sedang menanti masa untuk pencen dan tidak tahu lagi dimana mereka hendak tinggal selepas ini.
Bagi Ladaja Jawalis,56 dia sudah berusaha bermacam cara dan meminta pertolongan dari pihak berwajib namun masih menemui jalan buntu.
“Kamu tengoklah di sini ada bongkahan batu sahaja dan semak samun, rumah dijanjikan tidak nampak langsung, sudah dua pemaju berganti dan kami harap pihak Syarikat Perumahan Negara (SPNB) dapat bertanggungjawab masalah kami ini,” katanya.
Bagi Sabariah Mohd Salleh,51 dia kini berkerja sebagai seorang guru dan terpaksa bayar rumah terbengkalai pada masa sama bayar rumah sewa.
“Saya ada anak-anak sekolah lagi ada juga yang di luar negara, semua perlu guna wang, ini rumah saya hak saya bayar tiap bulan saya cuma mahu rumah ini siap, saya sangat terbeban,” katanya.
Deasoka