PH Sabah kekal pendirian bersama GRS sehingga tamat tempoh penggal

PH Sabah kekal pendirian bersama GRS sehingga tamat tempoh penggal

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah kekal dengan pendirian menyokong kerajaan sedia ada di negeri ini dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh.

Menurut kenyataan media bersama pucuk pimpinan PH Sabah hari ini, pakatan itu turut menggesa agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini di bawah Kerajaan Madani.

“Kami juga menyedari bahawa terdapat banyak laporan dan spekulasi berkenaan dengan rakan gabungan politik PH Sabah dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah akan datang.

“Walaubagaimanapun, Pakatan Harapan Sabah masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru yang akan dibentuk untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Namun begitu, PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Hajiji Noor dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh, “kata kenyataan bersama itu.

Terdahulu, bahang perkembangan politik Sabah semakin terasa dengan tempoh pilihan raya negeri semakin hampir dan terbaru, PH Sabah yang kini bergabung dengan GRS yang mentabdir kerajaan sedia ada sedang dikaitkan untuk bergabung bersama BN bagi mengambil kira semangat kerjasama di peringkat persekutuan.

Perkara itu telah dibangkitkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara baru-baru ini yang mengimpikan kerjasama di peringkat pusat terutamanya dapat direalisasikan di Sabah seperti mana gabungan tersebut berjaya mengharungi beberapa pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil di Semenanjung.

Sementara itu, dalam kenyataan media yang sama, PH Sabah menyokong pendirian dan keputusan kerajaan berhubung dengan tindakan mahkamah Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).

PH Sabah memahami dan menghormati sepenuhnya keputusan yang diambil oleh SLS dalam membawa isu 40 peratus hak perlembagaan Sabah ke mahkamah dalam permohonan Semakan Kehakiman mereka. Dalam kenyataan sama juga, pakatan terbabit turut menyuarakan pendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah.

“Baru-baru ini Dewan Undangan Negeri Sabah telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.

“Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah. Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|