SEMPORNA: Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah (JLMWS) telah mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Pengangkutan Laut bagi memperkukuh hubungan kerjasama inter-agensi di daerah ini.
Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Daar Biskai @ Adam Malik berkata, kempen ini diadakan selama tiga hari bermula 24 Mei baru-baru ini.
Katanya, ia melibatkan sebanyak lima jabatan dan agensi dengan keseluruhan anggota seramai 50 orang serta empat buah aset laut.
“Kempen ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama inter-agensi serta perkongsian maklumat sebagaimana bidang tugas dan tanggungjawab dalam Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah.
“Justeru, menerusi kempen ini, tahap kesedaran keselamatan bot-bot penumpang dapat dipertingkatkan untuk menjamin keselamatan penumpang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, ia juga diadakan susulan insiden kemalangan bot penumpang karam berlaku pada tahun 2023 melibatkan kematian pelancong asing yang telah menjejaskan imej pelancongan negara.
“Mengikut statistik kemalangan JLMWS, sebanyak 14 kemalangan bot dan kapal penumpang berlaku di perairan Sabah sejak tahun 2020.
“Antara punca-punca yang menyumbang kemalangan ini adalah disebabkan kecuaian dan ketidakpatuhan pengusaha bot penumpang dalam mematuhi perundangan maritim negara,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, kempen ini juga memfokuskan kepada bot/kapal yang membawa penumpang berdasarkan perundangan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Daar berkata, kempen itu merangkumi pemeriksaan di Jeti Pelancongan Semporna, Jeti Marina Seafest dan Jeti Umum Semporna serta kawasan di laut oleh aset-aset agensi maritim.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 124 buah bot daripada keseluruhan 132 bot penumpang telah diperiksa di Jeti yang melibatkan seramai 1,525 penumpang.
“Manakala pemeriksaan di laut pula, jumlah keseluruhan bot yang diperiksa sebanyak 104 buah bot dan 20 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan.
“Semua bot itu diserahkan kepada agensi perlesenan bot untuk tindakan kompaun dan kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 (Kapal Kecil Berlesen Sabah) dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Daar berharap pelaksanaan kempen ini dapat meningkatkan lagi kesedaran kepada masyarakat umum khasnya pengusaha bot-bot pelancongan agar lebih cakna keselamatan di laut.
Terdahulu, jabatan terlibat ialah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Deasoka