PENAMPANG: Memperkasa semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah menjadi keutamaan dalam proses menghayati tema Kaamatan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, bersesuaian dengan konteks tema Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan, rakyat di negeri ini diminta terus memperkukuh perpaduan sedia ada bagi memastikan jaminan kestabilan terus terpelihara demi generasi akan datang.
Jelas beliau, ia bukan sahaja merangkumi semua suspek bahkan meliputi kestabilan politik, sosial, ekonomi dan pembangunan teratur di negeri Sabah.
“Kaamatan, Beyond Food Security dan dalam Bahasa KadazanDusun Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon, membawa maksud bahawa Pesta Kaamatan bukan sahaja mengenai hasil tuaian bagi menjamin bekalan makanan kepada penduduk, namun Pesta Kaamatan membawa pengertian yang lebih luas.
“Perayaan ini bertujuan untuk memperkasakan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum agar kestabilan sosial, politik, ekonomi dan pembangunan yang teratur serta mampan sentiasa terpelihara,” katanya.
Jeffrey berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 Di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau dalam masa yang sama turut menyentuh semangat Kaamatan kali ini turut berupaya memulihara dan mempromosikan budaya unik masyarakat di Sabah, sekaligus memacu pembangunan ekonomi melalui kemasukan pelancong ke negeri ini.
“Sambutan Pesta Kaamatan ini berupaya membantu memulihara dan mempromosikan budaya serta keunikan masyarakat negeri Sabah agar lebih ramai penduduk serta pelancong dari luar negeri berkunjung ke Sabah sekaligus menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di Sabah.
“Rumah-rumah tradisi di perkarangan KDCA umpamanya mempamerkan tarian, alat muzik, pakaian tradisi dan menghidangkan makanan tradisi untuk pera pengunjung yang datang ke KDCA semasa Pesta Kaamatan,” katanya.
(gambar kredit: JAPEN Sabah)
Deasoka