PENAMPANG: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH)Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan-santun, politik perpaduan dan
politik pembangunan sebagai acuan dalam membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau berpendiriantiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan sesuai dengan cara hidup orang Sabah yang ramah-tamah, bertoleransi dan berharmoni.
Beliau berkata, sejajar dengan cara hidup orang Sabah itu, rakyat pelbagai etnik di negeri ini wajib menyemai dan menyuburkan semangat ‘ethnic trust building’ bagi mengekalkan kerukunan dan suasana harmoni dalam kehidupan masyarakat.
“Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya.
“Kita juga mahukan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa perlu ada rasa takut atau terancam dalam menjalani kehidupan. Semua keinginan ini hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita aman dan stabil, rukun dan damai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, pada Selasa.
Hajiji turut menekankan kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negeri dan negara dalam konteks berkerajaan.
“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal angan- angan. Kestabilan politik sukar untuk dicapai jika pemimpin bercerai-berai.
“Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat saling bersengketa dan berbalah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kehancuran,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata dalam konteks keluarga besar GRS yang terdiri daripada pelbagai parti, meskipun berbeza latar belakang perjuangan, semua parti komponen berkongsi objektif yang sama atas nama negeri dan rakyat Sabah.
Deasoka