KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Muda (M) Datuk Mohd. Rosli Abdullah di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Isnin.
Mohd Rosli dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 17 September 2024.
Sebelum itu beliau merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.
Terbaharu beliau sedang mengetuai perancangan bagi membangunkan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian radar bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.
Mohd Rosli pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Maritim Malaysia termasuk Pengarah Maritim Negeri Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.
Hadir sama pada kunjungan itu ialah Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
Deasoka