Atlet Sabah terima RM2.19 juta insentif kemenangan dari kerajaan negeri

Atlet Sabah terima RM2.19 juta insentif kemenangan dari kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini menyampaikan insentif berjumlah RM2.19 juta kepada atlet Sabah yang berjaya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.

Turut mendapat ganjaran, pelari negara Eddy Bernard yang mendapat pingat gangsa dalam acara 100m di sukan Paralimpik Paris 2024, sebanyak RM50,000.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada atlet yang telah mewakili negeri Sabah di kedua-dua temasya sukan berprestij ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di majlis penyampaian insentif kemenangan di sini, pada Selasa.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.

Ketua Menteri berkata turut tidak dilupakan kesemua jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan yang telah mengorbankan masa dan tenaga demi menjaga kebajikan atlet masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi SUKMA dan Para SUKMA lalu.

“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan Para SUKMA.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu merupakan catatan rekod baharu kebangssan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap semua perancangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan berjalan dengan lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|