KOTA KINABALU: Sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah telah menerima bantuan kewangan berjumlah RM56.75 juta daripada Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.
Dana ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan pendidikan serta memastikan tempat ibadat berada dalam keadaan selamat dan kondusif.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menyerahkan peruntukan tersebut dalam satu majlis di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, yang dihadiri wakil-wakil sekolah, gereja, tokong dan institusi agama lain.
“Tahun ini, peruntukan tersebut meningkat sebanyak RM2.7 juta berbanding tahun lalu bagi memenuhi keperluan sekolah dan organisasi keagamaan, dengan 1,839 permohonan telah diluluskan.
“Daripada jumlah itu, RM24.15 juta diperuntukkan kepada sekolah dan RM32.6 juta untuk badan keagamaan bukan Islam,” katanya.
Pada masa sama, Masidi menyatakan bantuan ini adalah untuk meringankan beban kewangan dan memperkukuh pembangunan institusi pendidikan dan keagamaan. Ia juga bagi memastikan keharmonian sosial dan persekitaran yang inklusif, di mana setiap komuniti merasa disokong.
Bagi penerima di Zon Pantai Barat Selatan (Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan), jumlah peruntukan ialah RM24.14 juta—dengan RM8.67 juta untuk 125 sekolah dan RM15.46 juta untuk 648 badan keagamaan.
Masidi turut menyatakan, bantuan ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi pelaburan dalam modal insan dan asas moral Sabah.
“Ia membantu sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong badan keagamaan dalam mengekalkan nilai sosial.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, yang bertujuan memperkukuh modal insan dan infrastruktur sosial di seluruh negeri,” katanya.
Majlis penyerahan untuk zon lain dijadualkan pada November bagi memastikan semua daerah menerima bantuan tersebut.
Deasoka