KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah komited untuk memperkukuhkan kerjasama dan memperkasakan gerakan Pemuda PH Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pemuda PH Sabah akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perjuangan PH Sabah terus relevan di hati rakyat.
“Setiap pergerakan Pemuda parti komponen akan menjadi penyampai mesej atau informasi berhubung usaha, dasar-dasar dan polisi-polisi Kerajaan Madani.
“Dalam masa sama, Pemuda PH Sabah juga menolak berita palsu atau fitnah yang sengaja direka oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
“Hasil perbincangan mesyuarat Pemuda PH Sabah yang diadakan hari ini turut menyentuh mengenai pendirian menolak keras fahaman politik ekstrim yang berkaitan isu 3R, ” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi Pemuda PH Sabah berharap, pihak berkuasa perlu bertindak tegas, pantas dan cekap dalam perkara ini kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan huru hara sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya.
Jelasnya, perbincangan turut menyentuh mengenai isu kos sara hidup yang perlu dijadikan salah satu isu keutamaan Kerajaan Madani.
“Pemuda PH Sabah turut menuntut agar hak-hak Sabah terus dihormati dan dilaksanakan terutamanya melibatkan isu 40 peratus hasil cukai.
“Meja bulat perbincangan turut bersama bersetuju agar tindakan persempadanan semula Parlimen Sabah dan Sarawak dilaksanakan secepat mungkin dan kami menuntut komposisi 1/3 dalam Dewan Rakyat.
“Akhir sekali, pergerakan Pemuda daripada semua parti komponen PH Sabah memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui Kerajaan Perpaduan.Perkara itu diputuskan hasil perbincangan Pemuda PH Sabah.,” katanya.
*Kenyataan bersama Ketua Dapsy (DAP Sabah); Vivian Wong, Ketua Pemuda UPKO Pusat; Felix Joseph Saang, Ketua Angkatan Muda Keadilan ( PKR Sabah);Zaidi Jatil dan Ketua Pemuda Amanah Sabah; Salleh Jatil.*
Deasoka