KUALA PENYU: Menteri Pembangun Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyeru masyarakat negeri ini khususnya Kadazandusun yang mempunyai sumber tanah yang luas supaya mengusahakan tanah-tanah terbiar mereka untuk pertanian.
Beliau berkata, kerajaan melalui kementeriannya menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan bantuan kepada usahawan atau koperasi yang berminat mengembangkan perniagaan atau perusahaan dalam sektor makanan.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensi di bawah kementerian ini menyediakan pelbagai skim dan bantuan yang bersesuaian.
“Contohnya di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pembiayaan Tabung Modal Pusingan sehingga RM100,000 disediakan kepada sesebuah koperasi yang terlibat dalam sektor agro makanan seperti pertanian, perikanan dan penternakan.
“Begitu juga dengan agensi-agensi lain seperti SME Bank, Bank Rakyat dan Tekun Nasional yang juga mempunyai skim-skim pembiayaan yang ada kaitan dengan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam sektor makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan anjuran UPKO, di Dewan Masyarakat Dato Shahbandar Makang, di sini, hari ini.
Sehubungan itu Ewon berharap, rakyat Sabah merebut peluang yang ada dan mengambil bahagian dalam gerakan keusahawan dan koperasi supaya Kaamatan ini tidak hanya setakat sambutan kebudayaan tetapi sebagai mesej pembudayaan keusahawanan dan koperasi.
“Krisis keterjaminan makanan harus menjadi peringatan kita semua dan harus dikembangkan sebagai satu peluang dalam keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, ini juga selaras dengan tema Sambutan Pesta Kaamatan tahun ini
“Kaamatan Melangkau Keterjaminan makanan” menerusi pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Mesej yang kita mahu terapkan kepada masyarakat sempena sambutan Pesta Kaamatan ialah, Sabah kaya dengan sumber asli dan selayaknya, kita bangunkan sumber asli seperti tanah untuk tanaman pertanian atau penternakan.
“Ini kerana Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan. Kita seharusnya memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada di negara kita bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import makanan.
“Sebab itu saya menyokong mesej tema Pesta Kaamatan pada tahun ini supaya rakyat terutamanya masyarakat Kadazandusun mempunyai tanah membangunkan tanah sama ada secara individu atau melalui koperasi,” katanya.
Deasoka