Bung, Zizie diarah bela diri tuduhan rasuah

Bung, Zizie diarah bela diri tuduhan rasuah

PUTRAJAYA : Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri terhadap tuduhan rasuah dan bersubahat membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra.

Hakim Zaini Mazlan, yang membaca keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan, berkata permohonan semakan yang difailkan pasangan itu di Mahkamah Tinggi adalah sama dengan memfailkan rayuan.

“Ia adalah permohonan interlokutori di sebalik rayuan,” kata Zaini, sambil menambah bahawa permohonan sedemikian mengganggu proses perbicaraan.

“Kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan keputusan Mahkamah Sesyen dikembalikan,” katanya.

Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Noorin Badaruddin.Bung Moktar, pengerusi bukan eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan agensi itu supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Norhaili Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette di tempat sama pada 19 Jun 2015.Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam melakukan kesalahan yang didakwa.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|