KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin disarankan untuk mengangkat bendera putih dan meletak jawatan disandangnya demi memberi ruang kepada proses perundangan mahkamah daripada terus dibayangi skandal rasuah ahli politik.
Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, meskipun pihaknya percaya teguran itu pastinya mengundang kritikan keras daripada parti tersebut, namun beliau menegaskan sudah sampai waktunya tokoh politik berkenaan mengundur diri.
Jelasnya, karisma Bung Moktar yang terkenal dengan kelantangan dan menjadi figura politik tempatan sebelum ini kini bertambah merudum serta sumbang apabila sekali lagi terpalit dengan dakwaan rasuah atas kes serupa di mahkamah.
“Sebagai salah satu permerhati politik di Sabah, PERSANTUN memberi saranan supaya Datuk Bung Moktar berehat dalam kancah politik dan memberi fokus kepada perbicaraannya nanti.
“Saya percaya beliau merupakan salah seorang pemimpin yang tersohor di negeri dan negara kita, tetapi kini apabila berdepan dengan situasi sedemikian, eloklah beliau mempertimbangkan nasihat-nasihat supaya meletak jawatan.
“Meskipun akan ada hujah mengatakan beliau belum dapat dibuktikan sebagai bersalah di mahkamah akan tetapi dari segi moralnya, beliau harus memikirkan sampai bilakah harus melawan takdir kerana tuduhan rasuah itu benar-benar terjadi yang harus dilawan beliau serta barisan peguamnya, “katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, hari ini, ketiga-tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan mengembalikan tiga kes rasuah ke Mahkamah Sesyen membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad bagi Bung Moktar dan Zizie Zizie Izette membela diri terhadap tiga tuduhan berkenaan.
Deasoka