Wujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air ganti JANS – Madius Tangau

Wujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air ganti JANS – Madius Tangau

Penampang: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah perlu diwujudkan bagi menggantikan fungsi Jabatan Negeri Air Sabah (JANS) dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pembentukan suruhanjaya itu selari dengan langkah kerajaan persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi pengurusan air di Semenanjung.

Katanya, suruhanjaya itu adalah antara transformasi yang difikirkan perlu untuk mengubah JANS menjadi sebuah badan atau agensi pengurusan air yang diyakini dan mampu memulihkan isu bekalan air dihadapi rakyat negeri ini sejak sekian lama.

Beliau berkata, transformasi JANS akan dibincangkan pada pertemuannya dengan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri yang baharu, Datuk Ir Shahelmey Yahya selepas melakukan tinjauan di semua fasiliti bekalan air di Tuaran minggu depan.

“Minggu depan saya dan Pegawai Daerah akan melihat semua tangki di Tuaran. Selepas itu saya akan jumpa Menteri Kerja Raya yang baharu bincang bagaimana kita boleh ‘transform’ JANS menjadi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah,” katanya.

Beliau yang bakal menjadi Presiden Kehormat UPKO berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Konvensyen Tritahunan Ke-16 UPKO, di sini, hari ini.

Madius mengulas mengenai isu bekalan air yang menghantui rakyat negeri ini, termasuk di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

Katanya, masalah timbul berikutan pengeluaran air bersih yang tidak dapat memenuhi permintaan pengguna selain diburukkan lagi dengan kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.

“Apabila cerita mengenai loji rawatan air, kapasiti di Tuaran ialah 80 juta liter sehari (MLD) iaitu yang dijual syarikat Jetama kepada JANS dan 80 MLD lagi di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Dua.

“Jumlah keseluruhannya ialah 160 MLD sedangkan permintaan pengguna dianggarkan sebanyak 230 MLD. Itu belum termasuk NRW yang kadarnya antara 50 hingga 60 peratus di Tuaran.

“Kalau semua itu diambil kira, berlaku defisit bekalan air melebihi 100 MLD. Bayangkan di Tuaran, empat hingga lima hari catuan air dibuat disebabkan situasi ini,” katanya.

Beliau mendakwa, JANS gagal memastikan bekalan air berada dalam keadaan baik termasuk tidak menyediakan peruntukan untuk menyediakan alat ganti jika berlaku kerosakan.

Madius memberi contoh, pernah berlaku kebocoran paip pada Mei lalu yang mana nat untuk melakukan pembaikan terpaksa ditempah dari Finland.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|