Hajiji kekal atas strategi GRS dan sokongan PH – Madius

Hajiji kekal atas strategi GRS dan sokongan PH – Madius

Penampang: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dapat mengekalkan kedudukan berikutan strategi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sokongan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menangani kemelut politik sebelum ini.

Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Madius Tangau berkata, ia satu kejayaan Hajiji mengekalkan kuasa selepas dilihat kehilangan majoriti apabila UMNO Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan kepadanya.

“Itu satu kejayaan bagi dia (Hajiji). Pada mulanya beliau seolah-olah sudah hilang majoriti, tapi dia dapat sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO.

“Ia satu strategi dan PH menjadi penentu. Sebab itu saya katakan kejayaan itu bukan saja disebabkan apa dia (Hajiji) buat, tapi juga oleh pihak lain seperti PH,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Konvensyen Tritahunan Ke-16 Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), di sini, hari ini.

Madius berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut politik yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Jelasnya, ia juga tindakan yang boleh dikatakan sebagai satu ‘survival’ diambil seorang Ketua Menteri kerana tidak mahu menyerah kalah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata PH dan UPKO kekal dengan pendirian tidak menyokong usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dilakukan melalui ‘jalan belakang’.

“Pendirian parti jelas, kita tidak mahu kerajaan pintu belakang. Kerajaan Sabah sekarang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, jadi memang patut ia terus dibenarkan memerintah.

“Lagipun hanya tinggal lebih kurang dua tahun lagi sebelum PRN seterusnya. Jadi biarlah kerajaan sedia ada terus memerintah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata cadangan untuk menyegerakan pembentangan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, memang perlu dilaksanakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|