Madius terus menyumbang kepada UPKO

Madius terus menyumbang kepada UPKO

Penampang: Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau yang akan mengundur diri mulai hari ini, berkata beliau akan terus menyumbang kepada parti itu.

Jawatan presiden selepas ini diambil alih secara rasmi oleh Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick.

Madius, 64, yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata selepas ini akan menjadi Presiden Kehormat UPKO, selain kekal sebagai Ketua Bahagian UPKO Tuaran.

Beliau berkata, walaupun sumbangannya selepas ini lebih kecil berbanding sebagai presiden parti, beliau tetap bersama dengan perjuangan UPKO.

“Majlis Tertinggi UPKO melantik saya menjadi Presiden Kehormat, jadi saya akan terus menyumbang kepada UPKO dari segi perjuangan parti, namun skopnya lebih kecil.

“Selepas ini beban tugas presiden sudah tiada di bahu saya, jadi saya lebih banyak masa di Tuaran berkhidmat kepada rakyat Tuaran. Saya juga masih menganggotai Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar terakhirnya selaku Presiden UPKO pada Konvensyen Tritahunan UPKO Ke-16, di sini, hari ini.

Ewon, 39, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagaimanapun tidak hadir kerana menghadiri program pemukiman Kerajaan Perpaduan di ibu negara.

Sebelum ini Majlis Tertinggi UPKO mencapai kata sepakat untuk melaksanakan transformasi kepemimpinan parti itu.

Melalui transformasi itu, Madius akan menyerahkan jawatan presiden kepada Ewon pada Konvensyen Tritahunan Ke-16 parti itu, hari ini.

Ditanya mengenai hala tuju UPKO di bawah Ewon selepas ini, Madius berkata beliau tidak perlu menasihatkan presiden baharu itu dalam menerajui UPKO.

“Sebab saya tahu dia sudah merancang apa yang beliau mahu buat selepas ini, tapi parti mesti terus berkembang,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Ewon untuk menarik generasi muda bersama UPKO sejajar usianya yang masih muda.

Madius, 64, menerajui UPKO sejak 2014 selepas mengambil alih jawatan Presiden daripada Tan Sri Bernard Dompok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|