Tawau: Empat rumah di Jalan Mawar, Kampung Sri Menanti, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.51 pagi.

Katanya, seramai 25 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan empat rumah dan dua rumah berkeluasan 81 meter persegi manakala dua lagi 36 meter persegi terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan sumber air dari jentera tangki,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal pada 3.39 pagi dan tamat sepenuhnya satu jam 50 minit kemudian.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
-Deasoka