UMNO Sabah kekal relevan mendepani cabaran politik

UMNO Sabah kekal relevan mendepani cabaran politik

Kuala Lumpur: UMNO Sabah mampu mengorak langkah lebih efisyen dalam mendepani cabaran politik akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, dengan keyakinan diperolehi daripada persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) edisi 2022 di PWTC yang berakhir hari ini, semangat dan iltizam berkenaan akan dibawa ke bumi di bawah bayu.

Menurutnya, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah mengumumkan keyakinan bahawa UMNO Pusat akan sentiasa bersama UMNO Sabah berserta akar umbinya dalam menyemai kesuburan relevan parti tersebut di Sabah.

“PAU kali ini dilihat istimewa untuk Sabah kerana meskipun kita menghadapi cabaran politik baharu, kita telah diberi jaminan secara tuntas daripada pihak Presiden mahupun Pusat, mereka bersama dengan kita UMNO Sabah.

“Semangat dan keyakinan ini bagi kami di pucuk pimpinan UMNO negeri akan bawa, akan sampaikan kepada ahli-ahli di seluruh bahagian yang kita perlu bangkit serta berpadu semua agar parti ini terus diyakini membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri acara penutupan PAU 2022 yang disempurnakan Ahmad Zahid di PWTC, Kuala Lumpur, petang tadi.

Mengulas lanjut, Raime dalam masa sama turut menekankan ahli-ahli dan akar umbi UMNO di Sabah supaya terus setia bersama parti dalam mendepani apa juga cabaran lebih-lebih lagi senario politik semasa.

“Kita dijangka akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh dua atau setahun setengah akan datang.

“Erti kesetiaan amat penting dalam memacu survivor parti UMNO, BN di Sabah, kita perlu menghayati pengorbanan parti, pemimpin yang telah mengangkat negara, Sabah ke mata dunia.

“Oleh yang demikian, kita mesti terus relevan, jangan membelakangkan parti kerana tanpa parti, siapalah kita, “katanya.

Terdahulu, PAU 2022 kali menyaksikan lebih 5,400 perwakilan daripada seluruh negara hadir mengadakan perhimpunan bermula 11 Januari yang lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|