Lahad Datu: Satu blok yang menempatkan 15 pintu rumah pekerja kilang kayu di Jalan Silabukan, di sini, hangus dalam kebakaran, petang tadi.
Bagaimanapun dalam kejadian jam 3.40 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 3.51 petang.
Katanya, sepasukan bomba bersama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan satu blok 15 pintu rumah pekerja kilang kayu jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.
“Dua buah kenderaan turut terbakar 20 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dengan dua aliran dan empat pancutan dari jentera dan air kolam.
“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyekat api daripada merebak ke gudang bersebelahan.
“Operasi terkawal pada 4.50 petang dan tiada mangsa terbabit dilaporkan,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan dijalankan memastikan tiada bahaya lain wujud dan operasi ditamatkan pada 7 malam.
“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
-Deasoka