Gagal seludup minyak masak, juragan nekad terjun laut

Gagal seludup minyak masak, juragan nekad terjun laut

Sandakan: Seorang juragan nekad terjun ke dalam laut sebelum melarikan diri ke perkampungan atas air di Kampung Bahagia, di sini, bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, dalam kejadian, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek terbabit bertindak demikian selepas dikesan melakukan aktiviti menyeludup minyak masak paket bersubsidi menggunakan bot laju jenis kayu.

Bot laju jenis kayu yang ditahan kerana digunakan untuk aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi di Sandakan.

Ketika kejadian, bot peronda PPM Sandakan yang menjalankan Op Gelora di kawasan laut Kampung Bahagia, mengesan sebuah bot laju bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan perkampungan atas air berkenaan menuju ke Laut Pelabuhan.

Ketika dihampiri, bot laju berkenaan bertindak berpatah balik ke kawasan perkampungan sebelum juragan bertindak terjun ke laut serta melarikan diri ke perkampungan atas air dan gagal dikesan.

Pemeriksaan ke atas bot laju itu menemui sebanyak 33 kotak berisi minyak masak bersubsidi disyaki cuba diselewengkan bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran.

Nilai keseluruhan rampasan minyak masak bersubsidi dan bot beserta enjin berjumlah hampir RM25,000.

Semua rampasan dibawa ke Pangkalan Marin Sandakan untuk siasatan lanjut.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|