Cubaan seludup petrol, minyak masak subsidi gagal

Cubaan seludup petrol, minyak masak subsidi gagal

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar petrol dan minyak masak paket bersubsidi menerusi Op Terancang, semalam.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, Unit Risikan Marin Kudat yang menjalankan tugas operasi mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut Tanjung Pegasan, Pitas.

Anggota PPM Kudat merampas tong biru berisi petrol dan minyak masak paket bersubsidi dalam Op Terancang di Kudat.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan, dua lelaki dewasa yang berada di atas bot berkenaan bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.

Pencarian dilakukan lebih sejam namun gagal mengesan suspek terbabit sebelum pasukan operasi berpatah balik ke bot pam yang ditinggalkan.

Tong biru berisi petrol yang dirampas disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Hasil pemeriksaan ke atas bot pam itu menemui 200 liter petrol dan 15 kotak minyak masak paket bersubsidi dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Turut dirampas iaitu bot pam beserta enjin dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM60,000.

Semua rampasan kemudian dibawa ke Pangkalan Kudat untuk tindak lanjut dan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|