Beri ruang untuk fikir langkah terbaik tadbir negeri ini – Hajiji

Beri ruang untuk fikir langkah terbaik tadbir negeri ini – Hajiji

Kota Kinabalu: “Beri ruang untuk saya memikirkan langkah terbaik dalam mentadbir negeri ini”, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, dalam hal ini, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira serta dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Walau bagaimanapun, jelasnya, kepentingan negeri dan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan.

“Bagi saya ruang untuk berfikir bagaimana kita mentadbir negeri ini dengan baik dan sebagainya. Kita perlu melihat segala aspek dalam soal-soal seumpama ini.

“Jadi jangan bimbang, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya. Apa yang penting ialah kepentingan negeri dan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakam Majlis Konvokesyen Ke-2 University College Sabah Foundation (UCSF), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang berada dalam Kabinet Negeri.

Ditanya jika pihaknya sedia menerima lima ADUN UMNO Sabah sekiranya mereka kehilangan keahlian selepas menyatakan sokongan kepada beliau, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enggan mengulas lanjut.

“Terlalu awal untuk saya komen kerana itu adalah hal ehwal UMNO dan Barisan Nasional (BN) jadi saya tidak boleh bercakap mengenai perkara-perkara seumpama itu. Kita tunggulah macam mana,” katanya.

Terdahulu, lima ADUN UMNO Sabah tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Antaranya ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|