Kota Kinabalu: Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pembedahan yang dikenali sebagai ‘awake craniotomy’ itu telah selamat dijalankan pada 12 Januari lalu di Dewan Bedah HQE 2.
Beliau berkata, ia merupakan hasil usaha Pakar Bedah Otak HQE 2 iaitu Dr. M. Sofan Zenian dan Dr. Hezry Abu Hasan, bersama dengan Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr Yeap Boon Tat serta Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Liew Boon Seng.
“Pembedahan itu julung kali dijalankan di negeri ini, persiapan dan perbincangan rapi di antara HQE 2, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan UMS telah dimulakan sejak November lalu bagi melaksanakan pembedahan ini.
“Pesakit merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap ‘multiple meningioma’ di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di HDOK Sandakan.
“Keadaan klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupan beliau.
“Oleh yang demikian, keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik ‘awake craniotomy’ adalah bertujuan untuk merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, dalam pembedahan otak ‘awake craniotomy’, pesakit adalah dalam keadaan sentiasa sedar sepanjang pembedahan.
Jelas beliau, pakar bedah otak akan sentiasa memantau tahap kesedaran dan kecerdasan otak dari semasa ke semasa sepanjang pembedahan ini.
“Ianya penting agar pakar bedah otak dapat menilai sejauh mana keberkesanan pembedahan tersebut dan kesan sampingan yang mungkin timbul seperti pendarahan di dalam otak.
“Oleh yang demikian, kerjasama erat di antara pakar bius otak (neuroanaesthesiologist) dan pakar saraf (neurologist) adalah diperlukan sepanjang pembedahan ini.
“Contoh-contoh pesakit yang boleh mendapat manfaat melalui pembedahan ini adalah seperti ketumbuhan di dalam otak, benjolan saluran darah (cerebral aneurysm) dan pendarahan di otak (extradural haemorrhage dan chronic subdural haemorrhage),” katanya.
Dalam pada itu, Rose Nani memaklumkan bahawa pembedahan itu telah berlangsung selama enam jam dalam keadaan terjaga.
“Pesakit telah menerima penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius, dan menyatakan keyakinan beliau terhadap pasukan bedah dan bius sebelum menjalani pembedahan ini.
“Sepanjang pembedahan ini, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas.
“Selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami gejala sakit kepala yang sedikit sahaja dan dibolehkan minum air dan makan hidangan lembut keesokan harinya,” katanya lagi.
Tambahnya, pembedahan otak ‘awake craniotomy’ diperkenalkan di dunia sejak awal 2000 lagi dan telah dimulakan di Malaysia seawal tahun 2010, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
-Deasoka