Warga emas maut dilanggar kenderaan ketika melintas

Warga emas maut dilanggar kenderaan ketika melintas

Kota Kinabalu: Seorang wanita warga emas maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Sepanggar dekat Kampung Kuala Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa berusia 61 tahun parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari tempat kerja di Sepanggar menuju ke penginapan di Hotel Tang Dynasty, di sini.

Anggota polis trafik menjalankan siasatan di lokasi kemalangan.

Katanya, ketika memandu di lorong kanan lurus Jalan Sepanggar, berdekatan simpang masuk ke Kampung Kuala Manggatal, seorang pejalan kaki wanita berlari dari kanan pembahagi jalan menuju ke bahu jalan secara mengejut.

“Ketika melintas jalan, mangsa jatuh di tengah-tengah jalan dan kenderaan pacuan empat roda yang sedang bergerak tidak sempat mengelak lalu terlanggar pejalan kaki terbabit.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami kerosakan patah nombor pendaftaran hadapan sahaja.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|