UMNO Kinabatangan tidak terjejas – Titing

UMNO Kinabatangan tidak terjejas – Titing

Sandakan: Tindakan beberapa ahli UMNO Kinabatangan yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini tidak memberi kesan terhadap UMNO bahagian itu.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk OKK Titing Putang, berkata tindakan itu tidak menjejaskan langsung ‘mood’ dan semangat juang ahli parti yang lain yang setia dan memiliki prinsip perjuangan yang kukuh.

“Begitu juga rata-rata rakyat yang sudah matang melihat budaya lompat parti sudah lama wujud di Sabah, ianya bukan satu perkara baharu.

“Kita melihat mereka yang keluar dari UMNO bukanlah ahli atau pemimpin parti yang memiliki maruah serta prinsip perjuangan yang tulen, selain tidak pernah menghargai jasa serta sumbangan UMNO sehingga mereka berada dalam kedudukan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan ahli UMNO diketuai bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan, Datuk Juhari Janan yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

Turut menyertai Juhari ialah Naib Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan yang juga anak beliau, Badrul Hisham Juhari dan beberapa orang ahli jawatankuasa bahagian.

Juhari dalam sidang medianya selepas pengumuman itu mendakwa beliau mengambil keputusan tersebut kerana memikirkan hala tuju pembangunan Sabah.

Dalam pada itu Titing berkata UMNO bahagian menghormati keputusan mereka yang meninggalkan UMNO dan ia memberi ruang kepada kepimpinan UMNO Bahagian untuk menilai ahli parti yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

“Biasalah dalam hidup ini umpama semut, di mana ada gula di situlah mereka berhimpuan mencari makan. Begitulah manusia bila agenda peribadi gagal dipenuhi, mereka akan mencari ruang baru untuk meneruskan survival kehidupan, apapun kita ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya.

Menurut Titing, dengan meninggalkan UMNO, ia tidak menjanjikan pembaharuan yang lebih baik kepada pengundi di Kawasan Parlimen Kinabatangan yang merangkumi dua Kawasan DUN iaitu Lamag dan Sukau berbanding dengan apa yang telah dilakukan dan dilaksanakan oleh UMNO bahagian itu selama ini.

Titing menambah UMNO/BN selaku antara tunjang utama pembentukan Kerajaan Perpaduan akan terus membela rakyat di kawasan ini melalui peruntukan yang disalurkan kerajaan Pusat melalui Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian.

Dalam pada itu, beliau meminta ahli UMNO, khususnya di bahagian ini agar terus kembali kepada asas perjuangan parti dan tidak mudah menyerah terhadap apa saja situasi.

“Takkanlah baru sahaja sumbangan UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan selepas PRN ke-16 dinafikan oleh kerajaan GRS/PGRS dengan melakukan tindakan yang tidak sealiran dengan konsep Kerajaan Perpaduan.

“Kita sudah mula goyah dan tertekan kalau begitu. Apa guna kita berpolitik kalau hanya memikirkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|