Rosemary peserta tunggal Sabah ke 10th International Abilympics

Rosemary peserta tunggal Sabah ke 10th International Abilympics

Kota Kinabalu: Seorang anak jati Telupid menjadi peserta tunggal dari Sabah mewakili Malaysia ke 10th International Abilympics yang bakal diadakan di Metz, Perancis pada 24 dan 25 Mac depan.

Rosemary Yvonne Marcus, 42, adalah seorang artis Orang Kelainan Upaya (OKU) sepenuh masa yang aktif dalam bidang seni visual sejak remaja.

Juliah Salag dan isteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datin Noriah Pg Ahmad membeli beberapa lukisan sebagai tanda sokongan.

Dilahirkan normal, namun ketika berumur setahun setengah, beliau mengalami kecelakaaan yang telah mengakibatkan kecederaan serius di mana 70 peratus badannya melecur.

Keajaiban berlaku apabila beliau mula sedar setelah sebulan berada dalam keadaan koma dan beransur pulih, namun beliau kehilangan deria pendengaran dan pertuturan semenjak kejadian itu.

Antara karya yang dihasilkan oleh Rosemary Yvonne Marcus.

Menurut Rosemary, minat dan bakat yang mendalam terhadap bidang seni visual menjadi semangat dan pendorong beliau untuk terus berkecimpung sekali gus memajukan industri seni kreatif Sabah.

Oleh itu, beliau menyertai dan memenangi banyak pertandingan lukisan yang sekali gus membantu negara dalam menaikkan lagi imej pelancongan, termasuklah hidupan liar dan keindahan alam sekitar kepada dunia luar.

Beliau berjaya mendapat tempat kedua di peringkat Kebangsaan (National Abilympics pada 2018) dan ditawarkan untuk mewakili Malaysia bersama-sama dengan pemenang tempat pertama.

Antara senarai kejayaan yang telah dicapai beliau ialah Naib Juara 10th National Abilympics 2018, tempat keempat dalam 9th National Abilympics 2015, Artis dalam Projek Mural bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2019 (RTM) dan WWF Merchandise Collaboration Project 2020 antara lain.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam beberapa pameran seni iaitu Bulan Kebajikan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah 2019 (Sabah Hotel Sandakan), Borneo Bird Festival, Rainforest Discovery Centre 2019 (Sepilok, Sabah), International Deaf Day Celebration State Level 2016 (Sabah Society For The Deaf) dan Charity Bazaar 2017 (Sabah Society For The Deaf).

Oleh itu, Rosemary yang akan diiringi oleh adiknya, Mary Ann Marcus, selaku Jurubahasa Isyarat, bersama-sama 16 peserta lain akan mewakili Malaysia ke 10th International Abilympics yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, sebuah ‘Art Fundraising Sale’ sedang giat dijalankan bagi menampung segala kos perbelanjaan mereka dua beradik ke Perancis bagi menyertai pertandingan itu.

Terdahulu, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag telah menemui kedua adik beradik itu kerana kagum dan menghargai bakat seni visual yang dihasilkan oleh Rosemary.

Beliau bersama-sama dengan isteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datin Noriah Pg. Ahmad turut membeli beberapa buah lukisan Rosemary sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka dalam mewakili negara.

Untuk pembelian karya dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Mary Ann Marcus (0198404899).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|