Wanita UMNO Batu Sapi manfaatkan bulan Ramadan sebagai bulan kasih sayang

Wanita UMNO Batu Sapi manfaatkan bulan Ramadan sebagai bulan kasih sayang

Sandakan: Wanita UMNO bahagian Batu Sapi memanfaatkan bulan Ramadan sebagai bulan kasih sayang untuk menyantuni golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

Ketuanya, Hazulizah Mohd Dani berkata, sejak mengambil alih jawatan itu, jadual telah disusun agar tumpuan diberi terhadap program kebajikan seperti penyampaian sumbangan dan berbuka puasa bersama kumpulan sasar.

Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Zantapha Zainal Abidin bersama Ketua Wanita UMNO Batu Sapi, Hazulizah dan Ketua Puteri ketika menyerahkan bubur lambuk kepada petugas di Duchess of Kent Hospital, Sandakan.

“Kita faham sempena Ramadan ini, tidak semua dapat melaksanakan ibadah puasa dalam keadaan yang serba lengkap terutamanya golongan B40, golongan asnaf dan mereka yang terpaksa bertugas di bulan mulia ini.

“Justeru, program Semarak Kasih Ramdan ini kita gerakkan dengan harapan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim selain berkongsi rezeki yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Semarak Kasih Ramadan, di Balai Komuniti Flat Majlis Perbandaran Sandakan, baru-baru ini.

Program yang digerakkan secara kolaborasi di antara Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi, Puteri UMNO Bahagian Batu Sapi dan Jabatan Penerangan Sandakan itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Zantapha Zainal Abidin.

Menurut Hazulizah, program agihan bubur lambuk dan sumbangan lain turut digerakkan ke jabatan-jabatan kerajaan, dimana ada pegawai dan kakitangannya yang terpaksa berbuka atau bersahur di pejabat kerana menjalankan tugas yang diamanahkan.

Katanya, program yang menjadi agenda tahunan Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi itu turut mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak jabatan, agensi kerajaan dan badan-badan sukarela.

“Kita yakin melalui program seperti ini hubungan secara langsung antara kepimpinan parti, khususnya Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi akan terus terjalin melalui bentuk kerjasama dalam menyediakan juadah yang diagihkan.

“Selain dapat merapatkan hubungan antara kepimpinan parti dengan masyarakat luar,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|