Kota Kinabalu: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai dan sejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran yang lebih selamat, malah akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Keamanan yang kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.
Menurutnya, tugas serta tanggungjawab mereka dalam bidang pekerjaan masing-masing sangat mencabar dan pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga keselamatan, akan sentiasa diingati.
Sehubungan itu, katanya, setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri sebagai mengenang jasa bakti dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan sama ada yang bertugas di sempadan, darat, laut dan udara.
Beliau berharap penganjuran majlis itu akan meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan bakti anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada bangsa dan negara.
“Pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita yang bertugas di perbatasan dan terpaksa berjauhan dengan keluarga, demi untuk menjaga keamanan dan ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan hari raya yang akan menjelang tiba,” katanya.
Hajiji berkata, tahun ini sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian, jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan kuih-muih untuk diagihkan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan menjelang Aidilfitri.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat agar terus melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu, susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.
“Justeru, saya berharap kita semua sentiasa berhati-hati dan perlu jaga diri demi keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing,” katanya lagi.
-Deasoka