Kota Kinabalu: Kerajaan Malaysia secara rasmi dan segera perlu meminta kerajaan Australia untuk mengeluarkan laporan penuh mereka mengenai nahas udara Double Six.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee berkata, ini kerana alasan yang digunakan oleh Arkib Negara Australia dalam menahan penerbitan laporan penuh adalah “Pelepasan maklumat dijangka boleh mengakibatkan kerosakan hubungan antarabangsa Komanwel” (Australia).
Katanya, alasan lain yang dinyatakan oleh Arkib Negara Australia ialah “Malaysia masih belum mengeluarkan laporan akhir dan penuh siasatan mereka secara terbuka”.
Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai “Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976”.
“Dalam dua balasan kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia telah menyatakan bahawa “rekod mereka mengandungi butiran teknikal”, “yang boleh memberi kesan kepada hubungan semasa Komanwel (Australia) dengan kerajaan negara asing”.
“Dalam kes ini, negara asing itu bermakna Malaysia dan bukan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Selanjutnya, Yong berkata, kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya.
“Ini kerana Arkib Negara Australia juga telah mendedahkan bahawa “bahagian tertentu teks telah dihapuskan” (iaitu, dipadamkan).
“Balasan daripada arkib Australia mendedahkan bahawa sejumlah 110 folio ditahan daripada diterbitkan. Setiap folio mengandungi lebih daripada satu halaman,” katanya.
Tambah Yong, hanya pelepasan laporan penuh, di Malaysia dan Australia, boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan itu.
-Deasoka