Laporan akhir siasatan tragedi “Double Six” sudah lama dinantikan – Felix

Laporan akhir siasatan tragedi “Double Six” sudah lama dinantikan – Felix

Kota Kinabalu: Keputusan Kerajaan Perpaduan mendedahkan laporan akhir siasatan tragedi “Double Six” kepada umum merupakan perkara yang sudah lama dinantikan oleh rakyat Sabah selama ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, pihaknya amat menyambut baik keputusan itu.

Menurutnya, langkah kerajaan menurunkan taraf laporan siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 kepada lebih terbuka memberikan keyakinan kepada rakyat, terutamanya waris mangsa akan ketelusan kerajaan.

“Inilah yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Sabah dan ramai yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

“Kami memuji keberanian dan keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan hari ini untuk mengumumkan laporan akhir siasatan itu.

“Rakyat Sabah berhak untuk mengetahui apa yang telah berlaku sebenarnya dalam kejadian nahas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan mendedahkan laporan penuh kemalangan pesawat udara tragedi ‘Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976.

Anwar dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan rakyat Sabah dan juga tuntutan keluarga waris yang ingin mengetahui maklumat terperinci mengenai kejadian itu.

Tragedi yang juga dikenali sebagai Double Six Crash telah meragut nyawa 11 orang termasuk Ketua Menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens.

Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|