Kota Kinabalu: Keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) adalah bagi mencapai matlamat dan hala tuju kerajaan negeri untuk membentuk satu gabungan parti tempatan demi keamanan dan keharmonian.
Demikian kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) N60 Tungku, Momen Anchai sewaktu mengumumkan keputusan untuk keluar daripada UMNO dan menyertai PGRS.
Selain itu, sebanyak 35 cawangan UMNO DUN Tungku dan tiga cawangan UMNO DUN Segama dengan jumlah 3,512 ahli turut menyertai langkah itu.
Jelas Momen, tindakannya itu bertujuan untuk membawa pembangunan yang perlu dilakukan di DUN N60 Tungku dan perkara ini memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan Negeri.
”Maka, dengan itu saya bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan, khasnya di N60 Tungku mengisytiharkan kami akan keluar daripada parti UMNO untuk menyokong dan menyertai, menjadi ahli parti yang sah di dalam PGRS.
“Memandangkan kawasan DUN N60 Tungku ini memerlukan lagi, banyak lagi kekurangan dari segi pembangunan-pembangunan yang kurang, jadi perlu dibantu oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Momen mula menyertai UMNO sejak tahun 1993, sehingga mengumumkan pengunduran beliau daripada parti itu pada 6 April 2023 dan seterusnya menyertai PGRS.
-Deasoka