Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan memastikan catuan bekalan air di negeri ini berjalan dengan baik susulan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Beliau yang juga merangkap Menteri Kerja Raya negeri berkata, ia termasuk membekalkan air bersih dengan menyediakan lori tangki ke kawasan yang terjejas sekiranya perlu.

“Saya telah berpesan kepada JANS untuk memastikan catuan bekalan air dapat dijalankan dengan baik.
“Sekiranya ada kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air rendah mereka boleh memaklumkan JANS melalui talian careline untuk tindakan yang sewajarnya.
“Sama ada kita hantar lori air atau sebagainya bagi memastikan catuan air berjalan dengan baik menjelang perayaan Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Dalam pada itu, katanya, JANS sedang giat mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini yang mencecah 60 peratus menerusi Program Pengurangan Air Tidak Berhasil.
Jelas beliau, usaha itu termasuk mengesan kawasan yang mengalami tekanan air rendah sebelum tindakan diambil bagi memulihkan masalah berkenaan.
“Dengan adanya program dalam mengurangkan NRW itu, kita akan dapat mengesan kawasan-kawasan yang sedang mengalami tekanan air.
“Jadi dengan adanya sistem ini, pegawai-pegawai jabatan air akan dapat melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya bagi memulihkan tekanan air.
“Sekiranya ini dapat kita jayakan menjelang hujung tahun ini, bekalan air yang sepatutnya akan dapat dinikmati oleh pengguna di luar sana,” katanya.
Mengulas mengenai kes kecurian air di negeri ini, Shahelmey berkata, sebuah jawatankuasa khas sedang mempertimbangkan mekanisme baharu, termasuk memasang meter pengesan bagi menyelesaikan isu kecurian air.
“Bagi kes kecurian air pula, satu perkara yang sedikit berbeza, yang kita perlukan adalah penguatkuasaan dan mungkin satu mekanisme sama ada kita lakukan meter pengesan ataupun sebagainya.
“Ini sedang difikirkan oleh jawatankuasa khas berkenaan,” katanya lagi.
-Deasoka