UMNO, BN sokong kepimpinan Hajiji sehingga PRN akan datang – Zahid Hamidi

UMNO, BN sokong kepimpinan Hajiji sehingga PRN akan datang – Zahid Hamidi

Kota Kinabalu: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sehingga tamat penggal.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu merupakan perjanjian yang telah ditandatangani antara mereka, maka ia harus dikekalkan.

Zahid ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Kampung Benoni, Papar, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap agar jawatan-jawatan yang terdapat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kerajaan Tempatan juga perlu terus dikekalkan.

“Itulah azam kami dan itulah yang telah ditandatangani di antara kami dengan mereka dan ini harus dikekalkan.

“Tetapi pada waktu yang sama, kita juga berharap agar jawatan-jawatan sama ada dalam GLC, kerajaan tempatan atau ketua kampung hendaklah terus dikekalkan seperti mana yang telah dipersetujui.

“Kita tidak mahu adanya penukaran disebabkan oleh perkara-perkara yang menjadi titik bengik di antara Semenanjung dan juga di Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Kampung Benoni, Papar, hari ini.

Dalam pada itu, Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan yang wujud di peringkat Pusat dan negeri mempunyai jalinan hubungan yang erat.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk terus mewujudkan situasi yang tenang di antara pelbagai parti di negeri ini.

“Untuk UMNO sendiri, saya telah memberitahu rakan-rakan saya daripada UMNO dan BN Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perasaan atau mengguris hati mana-mana pihak.

“Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan dan kita mencari kaedah-kaedah yang terbaik supaya kerajaan yang ada di Sabah ini terus dikekalkan sehingga PRN yang akan datang,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|