Kota Kinabalu: Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah akan mengadakan mesyuarat biro politik bagi meneliti kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya bersedia untuk menjalin kerjasama bersama mana-mana parti yang boleh membawa kemenangan bersama.
“Kami akan mengadakan mesyuarat biro politik untuk mengkaji siapa rakan kita dalam pilihan raya akan datang nanti, sebab perkara ini perlu dibincang.
“Rakan ini bermakna yang boleh membawa impak kemenangan membantu kita menang dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman carta organisasi badan perhubungan Umno Sabah 2023/2026, di sini, hari ini.
Antara yang dilantik ialah Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha Perhubungan, Datuk Jafry Ariffin; Bendahari, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Penerangan, Datuk Suhaimi Nasir.
Ditanya mengenai kerjasama beliau bersama Abdul Rahman, Bung yakin bahawa kombinasi mereka mampu untuk menjadi pemangkin kepada kerelevanan parti di negeri ini.
“Saya cukup yakin kombinasi antara saya dan beliau akan memberi pemangkin yang lebih baik kerana kami berpengalaman, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.
“Kita akan guna pakai kepakaran yang ada dalam memastikan Umno Sabah akan terus mendapat perhatian daripada rakyat,” katanya.
-Deasoka