Wanita Gagasan Rakyat Sungai Sibuga fokus pembangunan rakyat

Wanita Gagasan Rakyat Sungai Sibuga fokus pembangunan rakyat

Sandakan: Memberi pendedahan berkaitan ilmu ekonomi bagi membantu golongan wanita muda untuk terus maju antara pendekatan yang akan difokuskan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sungai Sibuga.

Ketua Penajanya, Annabel Perian berpendapat satu anjakan paradigma diperlukan bagi mencari ruang dan peluang memperkasakan ilmu serta kemahiran ke arah melahirkan wanita yang berjaya suatu hari nanti.

Amirshah (duduk, tengah) di samping Norliza bersama ahli-ahli jawatankuasa penaja Beliawanis Gagasan Rakyat Sungai Sibuga.

Dalam konteks itu, beliau akan mempergiatkan program turun padang bagi menyantuni masyarakat agar apa juga permasalahan melibatkan golongan berkenaan di peringkat akar umbi dapat diketahui sebaik-baiknya.

Katanya, usaha ini memberikan peluang kepada beliau dalam memahami kehendak dari sudut pembangunan ekonomi dan peluang-peluang perniagaan dengan membantu menyerapkan mereka ke dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Mengulas lanjut, Annabel berkata wanita perlu dibantu supaya mereka tidak ketinggalan kerana dalam kehidupan berkeluarga pun golongan berkenaan yang mengurus perbelanjaan keluarga.

Beliau akan membawa aspirasi wanita untuk terus diperjuangkan kerana dari sudut pembangunan negara mereka juga adalah pendokong sekaligus menjadi kekuatan sesebuah kerajaan.

“Bagi saya, golongan-golongan wanita ini perlu dibantu dari sudut pembangunan ekonomi kerana wanita ini sebagaimana kita sedia maklum dalam hidup berkeluarga, wanita ini menjadi menteri kewangan, menjadi menteri kewangan yang mengatur perbelanjaan keluarga untuk keperluan dalam keluarga itu sendiri.

“Justeru, saya melihat peluang-peluang pekerjaan itu perlu diberi pendedahan kepada wanita-wanita ini untuk terlibat dalam IKS iaitu industri kecil begitu, menjalankan perniagaan-perniagaan, memberi pendedahan ilmu untuk kita kembangkan.

“Selain untuk mencungkil bakat-bakat wanita ini untuk kita tampilkan dan untuk kita orang bilang majukan wanita ini agar tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Ahli Jawatankuasa Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sungai Sibuga di IJM, Sandakan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Penaja Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakob.

Dalam pada itu, menjawab kepada satu persoalan, Annabel mahu semua ahli jawatankuasa penaja wanita yang telah dilantik sama-sama menggalas tanggungjawab bagi memperjuangkan dan membela nasib wanita muda di peringkat akar umbi.

“Saya mengharapkan untuk terus menyantuni masyarakat di luar sana mendekati masyarakat di sana dengan melalui program-program.

“InsyaAllah kita akan atur dan rancang untuk turun padang dan bertemu dengan masyarakat tanpa mengira idealogi politik orang di kawasan DUN Sungai Sibuga,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penaja Beliawanis Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Norliza Abugau berkata, kerjasama kukuh dapat membentuk satu pasukan yang kuat dan mantap sekaligus membantu memperkuatkan lagi Gagasan Rakyat sebagai sebuah parti lokal di negeri ini.

Dari sudut pendekatan Beliawanis Gagasan Rakyat di kawasan itu, beliau memberitahu pihaknya turut memanfaatkan platform media sosial bagi mendekati anak-anak muda.

“Setakat ini, saya buat secara pendekatan kepada beliawanis dan belia melalui program-program, kunjungan kepada beliawanis dan juga belia-belia di sekitar di DUN Sungai Sibuga.

“Penerimaannya setakat ini Alhamdulillah sangat diluar jangkaan juga sebab semua pun kata orang lebih menerima secara terbuka dan pendekatan saya setakat ini melalui program serta saya dedahkan melalui juga media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tiktok,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|