Lebih 100 penduduk Kg Sembulan sertai Program Kesedaran ‘Tiada Lagi Denggi’

Lebih 100 penduduk Kg Sembulan sertai Program Kesedaran ‘Tiada Lagi Denggi’

Kota Kinabalu: Lebih 100 orang penduduk Kampung Sembulan telah menyertai Program Kesedaran ‘Tiada Lagi Denggi’ yang diadakan di Balai Raya Kampung Sembulan Lama, baru-baru ini.

Program itu merupakan anjuran Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dengan kerjasama Pasukan Sokongan Teknikal Denggi, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Persatuan Aedes Busters Sembulan dan Persatuan VCM Sabah dan Labuan.

Menurut Pensyarah UCSF, Sharmimiee Mohd Hussain, ia merupakan salah satu Khidmat Masyarakat yang diletakkan dibawah kendalian Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF.

“Ia bertujuan untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan para pelajar dan diketuai sendiri oleh pelajar UCSF, Dayang Nurin Nabilah Awang Indra dan dibantu oleh rakan-rakannya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, antara aktiviti pengisian Program Kesedaran ‘Tiada Lagi Denggi’ ialah derma darah, ujian saringan HIV/AIDS, saringan kesihatan, ceramah denggi dan promosi pendidikan dari UCSF.

Sementara itu, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Haseanti Hussein dalam ceramah kesedaran Denggi menegaskan, kebersihan adalah kunci utama kepada pengurangan kes Denggi.

Katanya, penduduk kampung perlu mengutamakan kebersihan diri, keluarga dan persekitaran bagi memerangi penyakit Denggi.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.22 Tg. Aru, Encik Reduan Datuk Aklee, bersama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung daripada beberapa buah kampung yang terlibat.

Dalam pada itu, Pemangku Dekan Unit Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF, Noorashiqin Ahmad menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program itu dan menyokong penuh program-program yang akan diadakan pada masa hadapan bersama penduduk Sembulan.

Manakala, Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris ketika ditemui berkata, pelajar UCSF sentiasa dibimbing dan digalakkan dalam aktiviti kemasyarakatan serta khidmat sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|