Wanita dituduh bunuh warga emas

Wanita dituduh bunuh warga emas

Tawau: Seorang wanita tempatan dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki 13 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh Nurima Juli, 32, didakwa bersama beberapa individu lagi yang masih bebas membunuh Nurman Bakaratu, 62, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, antara jam 7.30 malam hingga 9 malam.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Dzul Elmi Yunus.

Dzul Elmi kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac 2023 sementara menunggu laporan kimia, forensik dan notis rekuisisi.

Tertuduh juga tidak ditawarkan jaminan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing di sebuah ladang sawit di Batu 5, Jalan Apas pada 16 Januari.

Sehubungan itu, beberapa tangkapan telah dibuat termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan.

Kes itu turut menarik perhatian orang awam apabila seorang daripada suspek ditahan merupakan pegawai polis kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|