Guru selamatkan murid jatuh laut akibat jeti runtuh

Guru selamatkan murid jatuh laut akibat jeti runtuh

Kota Kinabalu: Tindakan pantas beberapa guru berjaya menyelamatkan lebih 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, Semporna daripada lemas apabila jeti di Kampung Pulau Pababag, runtuh dalam kejadian pagi tadi.

Rakaman video itu turut tular di media sosial memaparkan murid yang lengkap berpakaian sekolah sedang terjatuh ke dalam laut.

Beberapa guru yang turut berada di jeti berkenaan kemudian terjun menyelamatkan murid-murid berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Semporna Abdul Manan Indanan berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kejadian itu dan semua murid dan guru selamat.

Katanya, kejadian itu berlaku pagi tadi membabitkan murid dan penduduk kampung.

“Guru-guru yang turut berada di kawasan itu kemudian terjun untuk menyelamatkan nyawa murid mereka.

“Alhamdulillah, semua murid dan guru selamat,” katanya ketika ditemui Bangunan UMNO Sabah, hari ini.

Abdul Manan berkata, beliau sudah memaklumkan kejadian itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri berkenaan.

“Alhamdulillah kebetulan Timbalan Perdana Menteri datang ke Sabah.. jadi kami kemukakan video kejadian itu supaya peruntukan segera diberikan.

“Beliau (Timbalan Perdana Menteri) setuju supaya jambatan dan jeti dibina secepat mungkin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|