Belum ada tindakan terhadap ADUN UMNO Sabah

Belum ada tindakan terhadap ADUN UMNO Sabah

Kita Kinabalu: UMNO belum mengambil apa-apa tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Sabah yang bertindak membelakangkan keputusan UMNO Sabah sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan terhadap lima ADUN itu diputuskan secara berasingan daripada tindakan lain yang dibuat UMNO.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di sidang media selepas Mesyuarat Khas bersama UMNO Sabah.

Katanya, penyelesaian terhadap isu itu diserahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO yang akan membuat keputusan berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap ADUN terbabit.

“Isu mengenai ADUN UMNO Sabah akan saya bincangkan secara berasingan. Beberapa penyelesaian dan tindakan perlu diambil berhubung perkara itu.

“Kaedah penyelesaiannya kita mempunyai Lembaga Disiplin UMNO yang kita serahkan untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas bersama UMNO Sabah, di sini, petang ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Yakub Khan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditanya mengenai kedudukan lima ADUN UMNO iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Kelima-lima ADUN UMNO itu bertindak menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus mengetuai kerajaan negeri selepas Bung Moktar mengumumkan hilang kepercayaan dan mengambil keputusan menarik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan pimpinannya pada awal bulan ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga sedia mendengar semua pandangan dan menghargai perbezaan pandangan semua pihak yang terbabit dengan kemelut politik Sabah dalam membuat keputusan yang baik.

Sementara itu, mengenai Kerajaan Perpaduan Sabah, Ahmad Zahid berkata memang perkara itu yang mahu diterjemahkan di negeri, namun soal itu bukan hanya membabitkan hal ehwal kerajaan Sabah tetapi juga berkaitan Kerajaan Perpaduan persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|