UMNO isytihar tempoh bertenang

UMNO isytihar tempoh bertenang

Kita Kinabalu: UMNO mengisytiharkan tempoh bertenang bagi menghadapi kemelut politik yang melanda Sabah ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bagi membolehkan penyelesaian dicapai untuk menamatkan kemelut yang dihadapi.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan berapa lama tempoh bertenang itu, selain menyatakan perkara itu sebagai sesuatu yang subjektif.

“Sebentar tadi, kami mengadakan mesyuarat khas perhubungan UMNO Sabah dan perbincangan diadakan dengan cukup terbuka berhubung kedinamikan politik Sabah.

“Kita mengambil tempoh bertenang dalam menangani polemik atau kemelut di Sabah dari segi politik kerana kami berpandangan tiada perkara atau isu yang tidak boleh diselesaikan.

“Sepanjang tempoh bertenang ini, saya mohon tiada spekulasi atau kenyataan yang bercanggah sama ada pihak kami atau pihak sebelah sana, keikhlasan dan kejujuran sesama kita menjadi garis utama,” katanya pada sidang media di sini, petang ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Yakub Khan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO boleh duduk berbincang secara tertutup untuk mencari penyelesian dalam apa situasi sekalipun.

Katanya, banyak pendekatan dan kaedah yang boleh diambil dan disusun atur bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut politik di Sabah yang berlaku sejak awal bulan ini.

“Banyak pendekatan boleh kita ambil dan juga kaedah kita susun atur namun kita faham penyelesaian ini perlu persefahaman UMNO dengan rakan politik lain.

“Dalam hal ini kita beri keutamaan kepada agenda rakyat Sabah dan beri pencerahan terhadap kekeliruan yang berlaku,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|