Lelaki hilang dipercayai dibaham buaya

Lelaki hilang dipercayai dibaham buaya

Semporna: Seorang lelaki warga asing hilang dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Pegagau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit dikatakan sedang memancing di sungai berkenaan bersama tujuh rakannya.

Bagaimanapun, ketika cuba melepaskan tali pancing miliknya yang tersangkut, mangsa tiba-tiba diserang seekor buaya.

Mangsa kemudiannya ditarik masuk ke dalam air oleh haiwan berkenaan sebelum hilang tanpa kesan.

Difahamkan, insiden mangsa yang berasal dari Negara Filipina itu turut sempat dirakam rakannya yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Abdul Kadir Ab Halalan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa segera dijalankan namun sehingga kini masih gagal ditemui.

“Operasi hari kedua diteruskan hari ini dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|