Wanita didenda RM10,000 beri maklumat palsu mohon MyKad

Wanita didenda RM10,000 beri maklumat palsu mohon MyKad

Lahad Datu: Seorang wanita didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu, di sini, hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu sebagai penganjur bagi mendapatkan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kunak, pada 2014 lalu.

Tertuduh, Ensanah Likob, 59, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ryan Segaran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ensanah didakwa mengemukakan maklumat palsu sebagai penganjur kepada permohonan MyKad kali pertama seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Tertuduh kemudian ditahan pada 3 hingga 3.30 petang, 11 Januari 2023 di JPN Sandakan kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu ketika menjadi penganjur untuk mendaftarkan MyKad kali pertama (12 tahun) atas nama Mohammad Hafizi Jaini sebagai pengenalan diri.

Berdasarkan rekod permohonan MyKad (Borang JPN.KP 01) menunjukkan pada tarikh 05.02.2014 bertempat di JPN Kunak, tertuduh telah membuat permohonan MyKad dengan menggunakan sijil kelahiran atas nama Mohammad Hafizi Jaini sebagai penganjur.

Hasil siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat daripada Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasa JPN Putrajaya menunjukkan bahawa nombor kelahiran sudah dikeluarkan MyKad kepada pemilik sebenar.

Oleh itu, tertuduh mengemukakan maklumat palsu ketika menjadi penganjur permohonan MyKad.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM10,000 dan jika gagal membayar dua tahun penjara.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Nurul Fariza Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|