Usahawan tempatan digesa rebut peluang disediakan, tambah baik produk

Usahawan tempatan digesa rebut peluang disediakan, tambah baik produk

Kota Kinabalu: Peniaga dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) digesa untuk menambah baik produk dan kualiti pembungkusan bagi meningkatkan imej produk masing-masing yang berupaya memacu jualan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyeru agar mereka merebut bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan gimik perasmian bersama Pengarah QPACK Sabah, Catherine Dumas sempena pelancaran kilang syarikat itu, di SICC, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah juga adalah tepat pada masanya.

“Saya melihat peranan QPACK Sabah dalam industri pembungkusan di negeri ini mampu menjadi tonggak kepada perkembangan IKS dan secara tidak langsung merancakkan pola industri niaga di negeri ini.

“Dalam industri perniagaan, pembungkusan memainkan peranan yang penting bagi sesuatu produk itu kerana pembungkusan ini akan menjadi `trademark’serta imej kepada produk tersebut.

“Ini sekali gus menjadikan ia sebagai satu indikator pemasaran ke atas produk itu.

“Kepada usahawan di negeri ini, ambillah peluang untuk meningkatkan produk yang dihasillkan, bukan saja dalam aspek kualiti malah pembungkusan yang menarik, agar dapat bersaing dengan produk dari luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Pelancaran QPACK Sabah Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Mengulas mengenai peruntukan khas tambahan sebanyak RM600 juta dalam Belanjawan 2023 bagi komuniti peniaga kecil di Sabah dan Sarawak, Hajiji berkata ia merupakan inisiatif yang baik dan perlu dimanfaatkan peniaga serta usahawan IKS untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Sudah pasti peruntukan khas tambahan ini akan membantu peniaga kecil dan usahawan IKS di negeri ini, khususnya untuk menambah baik dan mempergiatkan promosi produk mereka.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM6.17 juta kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini, bagi mempergiatkan promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.

“Dengan pelbagai peruntukan dan bantuan diberikan kerajaan selain pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah, saya berharap kita mampu melahirkan usahawan IKS yang dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sebarang usaha yang dilakukan oleh individu atau syarikat, termasuk QPACK untuk merancakkan pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Saya melihat kehadiran syarikat seperti ini turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini.

“Saya berharap QPACK yang dimiliki anak jati Sabah ini akan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah hub evolusi pembungkusan terbesar suatu hari nanti,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap peniaga dan usahawan IKS walau dari mana berasal, kampung mahu pun luar bandar, jika berusaha untuk maju ke hadapan, pasti akan berjaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|